Monday, February 21, 2011
1 kepala, 1 hati, 1 suara
Sunday, February 20, 2011
LADING MASIH DI TANGAN
PENGHAYATAN cukup mendalam ditumpahkan ke atas ruang fikir yang menerima isyarat daripada indera lihatnya. Butir-butir kata yang tertera pada ukiran kayu itu membuat dia menjadi intrigue. Ada cebisan-cebisan makna yang ingin dikutip. Sayang sekali, sukar benar untuk digarapkan. Namun, katih mindanya masih ingin berlari seiring dengan persoalan aneh yang disogokkan oleh frasa-frasa pada kotak kayu empat persegi bertutup kaca itu. Ezzeq mengeluh perlahan. Dialihkan sentuhan pandangannya pada sebilah senjata yang melintang kaku persis purbawisesa bersemayam di atas peterana. Peri keanggunannya menyerlah seni pembuatannya. Dia tahu senjata itu bukan suka-suka ditempa. Pastinya telah dikembarkan dengan kasad dan maksud hingga rupanya sedikit aneh. Ezzeq memperdalamkan penelitiannya. Matanya licin dan tidak berpamor. Hujungnya tidak runcing seperti keris, pisau, kerambit ataupun
Tenno yang menjadi pedang kebanggaan kerabat Diraja Jepun. Lantaran hakikat itu menjadikan Ezzeq sedikit terpempan langsung mencari-cari tempat senjata ini memakan musuh. Ternyata sekali bukan pada hujungnya. Tidak, ruang logikalnya menafikan. Andai telahannya itu tepat, lantas di mana pula pemakannya? Ezzeq melarikan mata letihnya menyapa selirik pada barang-barang asing dalam “Syarikat Seni Renta” yang pernah menjadi milik bapa kepada bapanya. Dia menyedari, setiap kali dia memperpanjangkan langkah ke ruang kedai ini, pasti tersedia untuknya satu unit barang renta yang mencabar nubari ingin tahunya. Semuanya mengandungi sejumlah nilai estetika tersendiri bersemberi palitan rahsia dalam hembusan mistikal. Senjata yang terlindung kemas di dalam bekas lutsinar bersegi empat panjang itu kembali ke puncak kepetiaannya. Baris-baris madah pada kotak berkaki kayu itu masih tenggelam tafsirannya. Ezzeq cuba menyusur pula asal usul senjata mi, sejauh mana yang mampu diceritakan oleh peribadi fizikalnya. Barangkali sedikit benar rahsia kepahlawanan pemilik
silam yang mahu dihikayatkan. Namun yang pasti Ezzeq tidak mahu membiarkan kenyataan itu terus tenggelam tanpa secebis pun pembelaan. Hatinya masih tersedik dan enggan mengerti punca senjata ini harus dibungkus dengan tabir kerahsiaan. Mungkinkah senjata ini sehebat Zulfaqar yang pernah berjuang di sisi Baginda hingga orientalis mengecap Islam berkembang dengan mata pedang. Ataukah seagung pedang Karamallahu Wajha hingga terlukis pada panji-panji kebesaran Kerajaan Arab Saudi sampai ke saat ini. Hakikat itu masih lagi sukar dimengertikan. Ezzeq memberati punggungnya pada kerusi antik berdekatan. Ekor matanya sempat menangkap kilau sinar pantulan tekpi yang seratus peratus dibentuk daripada bes tulen. Matanya mula memasang perbandingan. Serampang bercabang tiga ini alias trisula amat nyata sekali tempat pemakannya. Di mana lagi jika bukan pada hujung setiap cabangnya yang runcing dan mampu menembusi dinding jantung musuh. Namun hal yang serupa tidak boleh disamakan dengan senjata di dalam bekas kaca berkaki kayu itu. Garis pemakannya terlalu tersorok.
Tikaman gabungan dua pupilnya dipindahkan semula pada senjata tua yang tidak bernama itu. Dalam diam dia berkira. Muslihat orang Melayu cukup licik lagi ampuh hingga mampu mengelirukan seteru. Sekali imbas, senjata yang mendapat perhatiannya ini tidak ubah seperti parang tumpul tetapi berkilat. Namun, pasti ada sesuatu yang cukup istimewa pada peribadinya lantas berjaya diletakkan pada taraf sebegini berdarjat dalam koleksi Seni Renta ini. Ezzeq mendekatinya kembali. Ada titik kilan yang membentuk ketidakpuasan pada sudut nyalinya. Betapa menjadi satu keharusan untuknya mencari sejarah yang hilang. Dengan seribu rasa cermat dan hemat, Ezzeq mengangkat kemas penutup kaca yang selama ini membumbungi senjata itu. Sekilas seperti terbau kelibat narwastu berbaur setanggi yang pernah diasapkan padanya suatu waktu dahulu. Dia tidak tahu di bahagian mana yang harus dipegang bagi memulakan salam perkenalannya. Ada getar keasingan yang mencelarukan sifat inkuisitifnya. Perlahan-perlahan hulu senjata itu disentuh dengan penuh lemah lembut lantas digenggam di dalam tapak tangannya. Ezzeq berasa janggal. Bentuk
hulunya seperti ditempa bukan untuk dipenuhi genggamnya. Seperti bukan demikian modus memegangnya. ‘Terasa lain benar jika kau menghunus begitu, bukan?’ Ezzeq bingkas menoleh pada suara yang mengiyakan satu kenyataan. “Oh, Tuk Zakir. Ada kelegaan yang terpancar pada raut wajah bila pemilik “Syarikat Seni Renta” itu menegurnya. “Nampaknya minatmu cukup mendalam pada parang itu.” Kata-kata daripada orang tua hampir tiga suku abad itu seolah satu nada izin untuk tidak meletakkan senjata itu semula ke atas pentas kecil kotak tersebut. “Jadi betullah ini sebilah parang dan bukannya pedang.’ “Matanya tidak cukup panjang untuk kau namakan pedang, Ezzeq.” “Mungkin Atuk tahu nama yang memperkenalkannya ke marcapada ini?” Tuk Zakir meluruskan bibirnya sebelum menyempurnakan persoalan yang dibawa oleh anak muda berjiwa besar ini. Lading.” “Lading?” “Ya, namanya Parang Lading. Senjata rasmi salah satu aliran persilatan Melayu asli di nusantara ini’. “Lading…..” Ezzeq mengucapkan perlahan pada mata senjata yang didekatkan pada sepasang indera lihatnya. Ada keserasian yang bergabung di antara isim dan jisimnya. Secocok benar nama itu dengan sifat keperwiraannya. “Tapi cara kau menghunusnya jauh daripada tepat. Malahan tiada seorang pun pengamal seni bela diri ini menghunus Lading pada musuh. Lading adalah senjata pertahanan. Senjata yang dihunus adalah senjata untuk menyerang. ini memberi banyak konotasi dan tidak kurang pula tafsiran yang pelbagai pada si pemakainya.” “Maksud Atuk?” “Contohnya, pedang. Sebilah pedang boleh menujah dan jauh. Pun boleh menangkis senjata lawan daripada menyentuh tubuh. Itu boleh ditafsir sebagai satu tindakan bijak tetapi keberaniannya sedikit dangkal.” Ezzeq tidak berani menambah. Dirasakan seperti ada lagi yang mahu dipadatkan dalam kenyataannya. “Kalau kau mahu meneliti, keberaniannya terpamer bila pedang itu berada di dalam genggamannya. Cuba kau kuis sedikit pedangnya dan halakan tujahanmu pada tangannya, pedang itu akan dilepaskan tanpa rela mindanya tapi oleh satu keterkejutan kawalan saraf refleksnya. Maka dalam arena persenjataan pedang telah termazkur ketewasannya.” “Lalu dalam kaedah yang sebagaimana Lading harus menghadap musuhnya?” Tuk Zakir menadah kedua belah tangannya pada cucu kepada bekas rakan kongsinya. Tanpa menuntut sebarang kompromi Ezzeq menyerahkan Lading. “Berapa banyakkah pengetahuanmu tentang seni bela diri?” Ezzeq mengekang bicara seraya memilih diksi terbaik bagi melengkapkan pernyataannya. Lantas pada ketika itu juga dia mengukur dalamnya ilmu persilatan yang cuma dikaji melalui bacaan ilmiah dan majalah ringan sekadar memenuhi santapan minda serta tuntutan makmal inkuirinya. Sebilangan teman-teman seperkuliahan yang disaksikan begitu aktif menganggotai pelbagai persatuan seni bela diri dengan maksud yang tersendiri. Tetapi dia masih belum mempunyai sebab yang kukuh untuk menyertai mereka. Apatah lagi bila semua disiplin seni bela diri dirasakan sama dan tidak lagi sesuai dengan tuntutan peredaran zaman. Lantaran demikian, membantutkan sebarang usaha untuk menenggelamkan dirinya bersesama mereka. “Mungkin jawapan terbaik adalah, masih hijau jika mahu diajak berbahas.” ‘Tak mengapa. Mungkin di sini mandala yang sesuai untuk kauperdalamkannya. Seperti yang pernah diwasiatkan oleh almarhum datukmu kepadaku. Pesannya: “Jika kau sudah cukup dewasa untuk mempersoalkannya, maka kau juga telah cukup dewasa untuk mendengar jawapannya.” II Malam ini malam yang dinanti. Setelah jauh perjalanan yang ditempuhi berserta seribu macam kegetiran bergaul keinsafan, telah sampai dirinya ke satu titik pertemuan. -Titik penghujung yang menjadi bukti satu pengakhiran yang tidaklah muktamad sifatnya. Sekadar satu ketamatan peringkat terakhir pelajaran ilmu pesilatan yang telah diperturunkan oleh Tuk Zakir kepadanya. Sepertimana yang pernah diturunkan oleh orang tua itu kepada Yuhanis seperempat tahun yang lalu. Yuhanis telah berjanji untuk menjadi saksi upacara ringkas malam ini. Sayang sekali, Tan Sri Emir dan Puan Sri Zubaidah tidak berjaya meluangkan masa senggangnya untuk menyaksikan puteranya dianugerahkan satu ijazah di atas kesungguhannya menamatkan satu disiplin ilmu yang mampu menyelamatkan dirinya. Bukankah menjaga diri sendiri adalah wajib. Sekujur tubuh ini sesungguhnya amanah Allah yang tidak harus dipersiakan begitu sahaja. Mereka lebih mengizinkan sekiranya Ezzeq beramah mesra dengan anak-anak kenalan perniagaan mereka yang sekaligus boleh memperluaskan sudut peti besinya. Namun, dia tidak pernah menghampakan harapan orang tuanya, seperti yang pernah dipesani oleh Tun Zakir. Ezzeq tetap menerima jawatan Penasihat Undang-undang Emir Corporation tanpa lebih daripada dua baris soalan. Bukankah itu pantang larang yang kedua dan ketiga : Tidak boleh menderhaka pada ibu dan bapa. Ezzeq sedar betapa disiplin seni pertahanan diri yang satu ini cukup mengajarnya definisi kesabaran semakin jauh dia merapatkan diri ke dalamnya. Kemarahan hanyalah satu kerugian bila diperbesarkan sedangkan ia cuma sebesar roti dan semakin mengecil bila terus dikunyah sabar dan masa. Marah cuma ingin menjatuhkan mahkota rasional daripada puncak persemayamannya. Akal boleh dibentuk, perasaan boleh dikawal. itu juga pesan Tuk Zakir yang pernah memperlahankan arus darah mudanya. “Mungkin juga kau telah bersedia untuk mengupas ringkasan pantang yang keempat.” Dia merapatkan sila duduknya di hadapan Tun Zakir di tengah rumah tiga sebandung yang menjadi tempat berlindung mereka dua beranak. ‘Tidak boleh bergaduh dengan ahli sealiran membawa maksud yang cukup luas. Ahli kita adalah bersaudara seperti mana yang dianjurkan oleh agama. Saudara mengutip maksud satu udara, maka selagi kita berkongsi satu udara yang sama, selama itulah kita akan terus terikat di dalam satu hubungan yang tidak mungkin dipatahkan seperti arang atau dikerat bagai rotan. Maka di sinilah keistimewaan “Buah Enam Tolak Enam” yang terus terang menghalang ahli daripada menentang satu sama lain lantas menatijahkan letih dan letak semata-mata.” Tuk Zakir mengangguk satu-satu. Muridnya tidak mempersiakan penat serta titis peluh yang menghempas bumi tatkala menyampaikan kemanfaatan ini kepadanya. Di dada guru itu terpahat satu harapan agar anak muda ini menjadi benih yang akan bercambah di bumantara langsung tumbuh merendang, lalu memberi naung pada musafir yang meminta teduh. Itu Tuk Zakir percaya. Maka dengan disaksikan oleh cucu perempuannya, Tuk Zakir menganugerahkan senjata baru yang khas ditempa untuk si pemakai Segala ukuran telah tersukat. Lantas menghalang senjata itu bertukar milik. Sebilah senjata yang pernah dianugerahkan pada Yuhanis. Ezzeq menerima Ladingnya dengan penuh rasa rendah diri. Betapa itu yang diajarkan oleh guru serta aliran persilatannya. Seni silat Melayu turunan asli yang belum bercampur hak luar negeri masih bertunjangkan prinsip Oryza Sativa. Selagi berisi selama itu memandang ke tanah. Kerana di situ menjalar susur galur bersemberi asal usulnya. Bukan setakat tegak sepadang Imperata Cylindrica, sekali ditebas orang terbiar reput menjadi makanan bumi jua. “Lading yang kuberi ini telah kusukat mengikut anggotamu, Ezzeq. Jarak panjang dan pangkal hingga ke ujung adalah berdasarkan ukuran dan lubang telinga kanan hingga ke mata kirimu.” Aneh benar cara mengukurnya, fikir Ezzeq, seperti ada yang tersembunyi sebaliknya sekeping muslihat yang terlalu dalam tafsirannya. Dalam dia diam cuba menilai erti perkataan Tuk Zakir. Barangkali pendengaran ini harus dilebarkan sementara pandangan pula perlu diruncingkan. “Aku tidak mengatakan pendapatmu itu salah. Setiap sudut pandangan manusia punya sebab tersendiri bila dia memilih perspektifnya. Tapi biar aku berikan makna yang jauh lebih dalam. Tiap-tiap yang terlihat dan terdengar maka sampailah senjata itu. Maka itu Lading tidak dihunus tapi disembunyi di belakang tanganmu.” Anak Tan Sri Emir itu menggenggam hulu Lading dan membiarkan besi parang itu terukur sepanjang belakang tangannya hingga ke siku. Sememangnya sentuhan Lading malam ini tidak lagi terasa janggal seperti pada awal pertemuan mereka beberapa musim terdahulu. Lalu bergabung satu keserasian antara pemilik dengan yang dimiliki. “Ada lagi ukuran khas yang perlu kauketahui hulunya.” Diperhatikan pula bahagian pemegang parang itu. Ia tidak pula berukir atau punya pendongkok seperti keris Melayu lama yang lain. “Hulu parang Lading mempunyai lebar tapak seekor kijang,” ujar Tuk Zakir. “Spesifikasi ini membolehkan si pemakai menggenggam kemas hulu Lading dan sukar terlepas.” Peguam muda itu meneliti lagi senjata yang telah dipunyainya. Ukuran yang berbeza pada Lading semacam memberi satu keseragaman meskipun ia tidak berlok atau bertulang seperti keris pendek yang menjdi perhiasan pakaian raja sehari. Kepetiaannya beralih pada belakang parang yang tebal pada pangkalnya dan tipis semakin ia menjejaki hujung. Kata Yuhanis sewaktu menunjukkan Lading miliknya, di bahagian hujungnya itu selebar perdu kuku jari kelingking sementara tebal pada pangkalnya selebar perdu ibu jari. Lalu wujud variasi antara Ladingnya dan Lading Yuhanis. Namun, bukan itu sebenarnya yang dicari Ezzeq. Semenjak pertama kali matanya menjejak pandangan pada Lading, pemakannya jua yang menjadi pusat kelintarnya persoalan. Dia tahu matanya bukanlah di sepanjang parang tersebut seperti parang pengupas kelapa ataupun parang panjang. Jika ditegakkan Lading agar belakangnya mengadap langit, tidak siapa yang boleh menafikan bahawa hujungnya lebih lebar daripada pangkal bila dilihat dan sisi. Semacam badek jawa tetapi lebih sedikit panjangnya. “Mungkin kau sudah tidak sabar lagi untuk mengetahui tempat tersimpannya bahagian yang paling tajam pada Ladingmu.” Ezzeq tersenyum. Dia tahu tentu sekali Tuk Zakir dapat membaca aliran fikirnya dengan mudah. “Tapi sebelum itu Atuk mahu kau tahu satu perkara. Lading ada senjata tempur jarak dekat. Maka memakai Lading perlulah digandingkan dengan sari kebijaksanaan. Mengertilah bahawa bukan senjata itu yang mampu mempertahankan dirimu. Tapi zat semangat serta keberanian yang diiringkan dengan keizinan Ilahi sahaja yang mampu menghulurkan perlindungan pada mereka yang bermohon.”
III Penasihat Undang-undang Emir Corporation itu meletakkan akhbar Berita Harian yang telah menghidangkan sarapan minda buatnya. Laporan tentang Sekretariat Melayu Antarabangsa itu mampu membuat dia tersenyum pagi ini. Ada kejayaan yang ingin diraikan. Bukan kejayaan peribadi, tetapi kejayaan milik semua. Namun bila bumbung kekuatan itu ampuh, serangan yang datang bukanlah dan luaran lagi. Unsur-unsur kebatilan menyamar menjadi air lantas berosmosis dengan tunjang yang paling hujung. Lalu, akar dan urat itulah yang paling lembut dan repui. Nanti, tanpa amaran, dedaun yang hijau cemerlang berganti kuning dan kehilangan cara untuk menyelamatkannya lagi.
"Ayah, saya ingin membesarkan Syarikat Seni Renta dengan mengumpul lebih banyak barang antik dari seluruh Nusantara. Kemudian syarikat itu akan diletakkan sebagai anak Syarikat Emir Corporation."
“Kau mahu jadikan muzium kecil itu 'subsidiary' kita?"
“Apa salahnya? Atuk telah mewariskannya pada saya. Bila pengurusan pemasarannya diperbaiki, dan bernaung di bawah nama Emir Corporation, bukan setakat cabang kita sahaja yang bertambah, tetapi kekayaan khazanah lama turut terpelihara.”
Tan Sri Emir merenung anak sulungnya. “Ayah rasa kau terlalu 'obsessed' dengan aliran persilatanmu hingga kau berfikiran demikian. Tiada apa keuntungan yang akan dibawa masuk oleh syarikat itu kalau kita wujudkan prinsip 'Holding - Subsidiary' dengannya. Biarlah dia beroperasi dengan sendiri.”
"Tidak, ayah. Ayah pun tahu yang saya tidak mudah dipengaruhi, apalagi untuk taksub dengan sesuatu perkara. Ayah juga yang mengajar saya untuk menjadi seorang rasional. Memang secara zahirnya, “Syarikat Seni Renta” tidak membawa masuk pulangan kewangan secara menderu-deru seperti anak-anak syarikat kita yang lain, tetapi dalam jangkamasa panjang, kita telah membela satu tinggalan nenek moyang yang tidak ternilai.” Ada jeda yang dipasang oleh Ezzeq. “Ayah jangan risau, tentang urusan syarikat itu, biar saya yang selesaikan.”
“Habis bagaimana dengan tugas-tugas kau sebagai Legal Advisor di sini?"
“Tidak akan saya ketepikan.”
Iv
Latihan tangan berlading sentiasa menjadi amalan hariannya setiap kali selesai... .....menyempurnakan solat Maghrib. Daripada berada di tangan kanan, pantas Ladingnya dialihkan ke belakang tangan kirinya. Kepantasan menukar Ladingnya itu sudah menjadi satu kebiasaan yang telah lama dilatih. Kalau Panglima Ismail dan para pahlawan di zaman Sultan Ahmad Tajuddin di negeri Jelapang Padi seringkali memahirkan diri dengan aliran persilatan ini, meskipun telah terlebih mahir jika mahu dikategorikan. Namun ia masih tetap diamalkan. Pun begitu, Ezzeq amat arif, malang tidak datang bersama narwastu pemberitahu kehadirannya. Malapetaka boleh tiba tanpa direncana. Ada kewaspadaan yang perlu dibeli lebih.
Malam ini dia ada berita yang mampu memberi senyuman. Untuk Tuk Zakir, untuk Yuhanis dan untuk dirinya. Perkhabaran ini tidak mahu dipertangguhkan lagi. “Syarikat Seni Renta” akan bertukar wajah. keluasan lantainya akan bertambah. “Syarikat Seni Renta’ akan diberi dahan kukuh untuk dinaungi. Deringan halus telefon tangannya memberhentikan latihannya. Pantas gagang itu didekatkan pada telinga dan mulutnya.
“Hello? Oh, Anis. Dah lama kau tak call.”
“Kau tu bila dah masuk office susah nak keluar.”
Ezzeq ketawa kecil. “Apa yang boleh aku tolong?”
"Ada yang ingin aku bincangkan semasa ‘dinner’ nanti. Boleh kau luangkan sedikit masa?”
“Tentu saja. Nanti aku datang. Tunggu di kedai antik pukul 8.30 malam.”
Talian diputuskan. Ezzeq menghabiskan latihan tangan berlading yang masih berbaki, seraya hatinya tertanya-tanya barang kemungkinan yang bakal di bawa oleh Yuhanis. Suaranya seperti berbaur keseriusan dan nada gembira. Tepat lima minit sebelum waktu pertemuan, Ezzeq memberhentikan Peugeot 405 SR miliknya betul-betul di hadapan “Syarikat Seni Renta”. Kebetulan bersebelahan dengan sebuah kereta merah dari jenis Proton Saga model tahun 1985. Kedua-dua belah pintu kaca kedai itu terbuka luas. Tidak pernah dilihat fenomena sedemikian; seperti Yuhanis benar-benar mahu menyambut ketibaannya. Sedangkan “Syarikat Seni Renta’ telah menamatkan perniagaan selepas jam enam. Ezzeq melangkah berhati-hati. Lampu di dalam kedai itu telah pun terpadam. “Cepat! Keluarkan semua sekali!”
ada suara garau yang memerintah. Langkah Ezzeq mati di situ. Perkiraan hatinya turut berubah. Semacam ada kelainan yang dapat dirasakan berlaku di sekitarnya. Ezzeq mendekatkan mukanya pada cermin kaca yang dirasakan berlaku di sekitarnya. Ezzeq mendekatkan mukanya pada cermin kaca yang memisahkannya dengan entah sesiapa yang tidak diundang di dalam.
Yuhanis sedang terpaku di hadapan peti besi di sudut bahagian dalam dinding, yang bergerak cuma tangannya memutar kombinasi nombor pada permukaan pintunya. Dua orang lelaki yang tidak dikenali masing-masing menghunus sebilah pisau belati. Kehadiran Ezzeq telah mengubah segala situasi.
“Hoi!” Sergahan Ezzeq telah menukar suasana suram dan cemas di bahagian dalam kedai itu. Ketiga-tiga lembaga itu berpusing ke arah suara Ezzeq yang membelah kesunyian. Kesempatan sekelip mata itu dimanfaatkan oleh Yuhanis. Kaki kanannya melibas pelipat salah seorang penceroboh mengakibatkan lampu picitnya terlayang jauh.
Dia cuba membenamkan belatinya ke dada gadis yang telah tamat aliran persilatannya itu. Namun agak sukar untuk mencederakan seorang yang dapat menguasai ketenangan sepenuhnya ketika bertemu dengan saat-saat genting sebegini. Di kala seperti inilah keberkatan dan doa guru itu amat penting. Tanpanya sebarang ilmu sekalipun tidak akan menjadi.
Yuhanis menangkis dengan menolak lengan musuh yang cuba menikam dan arah atas menggunakan tangan kirinya lantas di hantar ke kanan. Dalam masa yang sama dia menolak penyerangnya jauh ke belakang. Serentak dengan itu, senjata penceroboh kedua telah terhumban entah ke mana akibat sepakan kaki kiri Ezzeq. Panik dan cemas menjajah dirinya. Matanya di belingas ke kiri dan ke kanannya mencari-cari senjata yang boleh membantu. Pandangannya bertemu dengan sebilah pedang ala Gothic yang ditempa daripada besi Sepanyol tulen. Tangan yang tidak terlatih pantas benar meletakkan dirinya di belakang pedang dengan satu kepercayaan bahawa dinding keberaniannya telah terdiri. Dilibasnya pedang itu ke kiri dan ke kanan beberapa kali dengan harapan kegerunan bakal…..tumbuh pada nyali musuhnya. Namun Ezzeq tetap berdiri tenang tanpa bergerak ke kiri dan ke kanan seperti yang pernah diajarkan oleh gurunya. Libasan ke sebelah kanan pahanya sepantas kilat dengan menggelekkan tubuhnya mengikut arah lawan jam. Kaki kanan yang telah di bawa ke belakang segera di bawa ke hadapan dan jauh hingga ke belakang lutut musuhnya. Tangannya menyambut siku penyerangnya sementara sikunya sendiri disendal pada rusuk muda lawannya. Satu hentakan diberikan pada sendiri lengannya. Serentak dengan itu, siku Ezzeq tenggelam ke rusuk muda. Ada tulang yang patah berselisih.
Penyerang Yuhanis masih belum berpuas hati bila dijatuhkan oleh seorang gadis awal dua puluhan itu. Dia kembali menerjah. Namun secebis semangatnya terbang bila penghujung matanya dapat menangkap -teman seperjuangan yang telah rebah ke bumi. Seperti ada dendam yang ingin dibalas, kemarahan mengiringi serangannya sekali ini. Usus musuhnya ingin diradak keluar. Tetapi Yuhanis lebih pantas menguis lengannya dan dalam separuh saat tangannya yang lemah lembut itu tiba-tiba bertukar keras dan menghentak tengkuknya. Bila matanya dapat dibuka kembali, tahu-tahu sahaja dia terperangkap di dalam kuncian Yuhanis.
Ezzeq tersenyum memerhentikan temannya menghabiskan sayembaranya. Tanpa berlengah lagi, tangannya mendail nombor sembilan tiga kali pada telefon tangannya.
“Aku masih belum sempat meluahkan penghargaan pada kau yang tiba tepat pada masanya semalam. Kalau tanpa bantuan kau belum tentu aku masih hidup hari ini.”
“Itu semua gerak Allah, Anis. Bersyukurlah padaNya.” balas Ezzeq. “Apa sebenarnya yang nak kau beritahu aku semalam?”
“Cangkir emas bertatah permata yang ingin dirompak malam tadi sebenarnya telah ada pembeli semasa Lelongan dua hari lepas. Dia sanggup beli dengan harga RM900, 00.00. Dia juga sanggup menambah tiga suku juta lagi untuk membeli Lading datukmu. Itu yang ingin aku tanyakan, sama ada kau memberi keizinan untuk menjualnya”.
“Aku rasa tak perlu untukku jelaskan apa yang telah pun terang. Wang bukanlah galang ganti untuk Lading usang itu. Sekalipun kau ataupun aku tidak boleh memanfaatkannya, ia masih milik kita untuk diwarisi. Katakan pada dia, Lading ini bukan untuk dijual. Ia berada di sini sekadar penyeri Seni Renta.” Yuhanis tidak pernah lebih bersetuju daripada ini.
Dilontarkan sentuhan pandangannya pada Lading yang masih tersimpan kemas. Ezzeq meniru perbuatanya. Kini dia lebih mengerti akan pemakan Lading yang cuma sepanjang jarak dua mata si pemakai. Rupanya terlalu banyak yang perlu dipertahankan. Bukan sekadar menyerang dan memakan musuh semata. Betapa benar perkataan datuknya sedikit masa dahulu, bahasa aliran persilatan ini masih ampuh meskipun pada situasi segenting berada di atas papan nan sekeping. Ezzeq juga dapat mengungkap kini, maka perkataan yang tertera pada kaki kotak kayu empat persegi itu.
Sehalus seni sekukuh pegangan Mungkirku tidak pada perjanjian. Bahasa papan nan sekeping iniTidakkan patah tak mungkin goyah Selagi Lading masih di tangan.